Tuesday, February 26, 2013

Belasungkawa: 26.02.2013 - Perginya Seorang Pegawai Menemui Illahi..

Pada hari ini, saya telah dikejutkan dengan berita bahawa Pegawai dibawah seliaan saya, Allahyarhamah Rusnani bt Pa'Adik telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi tadi. Pemergian beliau adalah disebabkan serangan penyakit SLE yang telah lama dihidapinya sejak kecil. Ini merupakan kali pertama saya kehilangan Pegawai yang bertugas di bawah seliaan saya sepanjang saya berkhidmat.

Saya tidak lama mengenali beliau. Saya mula kenal beliau dan sama-sama melaksanakan tugas yang diarahkan sebaik sahaja saya ditempatkan di Unit Parlimen mulai September 2011. Ketika bertugas, arwah ceria dan cekal menjalankan tugas dan sering memberikan khidmat yang terbaik apabila diperlukan. Adakalanya ketika bertugas di pejabat, beliau terpaksa bertarung dengan serangan penyakit tersebut. Akhirnya, keadaan beliau menjadi semakin kronik bilamana penyakit tersebut telah menyerang organ-organ dalaman arwah. Keadaan arwah yang menjadi semakin kritikal dari hari ke hari menyebabkan beliau terpaksa dibawa pulang ke kampung halaman dan ditempatkan wad ICU HUSM Kubang Kerian, Kelantan untuk menerima rawatan rapi pada setiap masa. Pada sesi ziarah sebelum ini, saya sempat melihat sendiri keadaan arwah di hospital dan bertemu dengan sebahagian ahli keluarganya.  Arwah koma pada ketika itu dan sewaktu saya sampai, arwah baru sedar dari koma tetapi berada dalam keadaan yang sangat lemah.

Menurut maklumat daripada rakan sekerja, arwah dijangka dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di kampung halamannya. Selain wakil daripada Bahagian, beberapa orang pegawai yang kebetulan berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan mesyuarat juga akan melawat keluarga arwah. Alhamdulillah. Memandangkan saya tidak berkesempatan untuk turut sama menziarahi keluarga arwah pada hari ini, saya doakan semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi dan ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman di sisi-Nya. 

Takziah kepada keluarga beliau, semoga mereka banyak-banyak bersabar dan tabah atas kehilangannya. Sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah buat beliau.

Al-Fatihah...

No comments: