Friday, February 08, 2013

Asal-Usul Silat Cimandi/Cimande


Sejarah Silat Cimandi/Cimande:

ASAL USUL SENI SILAT CIMANDI PECAH TUJUH

Cogreg (Bogor) Indonesia pada abad ke17 hingga 18 - Terdapat sepasang suami isteri yang tinggal di Bogor, Pak Kahir Adalah seorang pedagang manakala Ibu Semantan adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Mereka tinggal di Cimande, Bogor berhampiran dengan sebatang sungai yang bernama Sungai Mande. Pada suatu hari Ibu Semantan pergi ke sungai untuk melakukan kegiatan hariannya seperti membasuh pakaian, mencuci makanan dan membuang hajat. Ketika Ibu Semantan sedang sibuk membasuh pakaian tiba-tiba di seberang sungai beliau terlihat seekor beruk putih sedang memungut buah kupak yang bertaburan di tepi sungai. 

Ketika itu juga muncul seekor harimau Putih di hadapan beruk itu. Berlakulah satu pertempuran rimba diantara Beruk Putih dan Harimau Putih itu. Pertarungan diantara kedua binatang ini menarik perhatian Ibu Semantan yang kebetulan berada di situ sehingga beliau berhenti dari membasuh pakaiannya. Mata beliau terpaku dengan aksi itu, seolah-olah beliau sedang menyaksikan dua pendekar yang bertarung. Si Beruk Putih bertarung untuk menyelamatkan nyawanya dari dibaham oleh si Harimau Putih dan setiap inci pergerakan, tangkisan dan serangan dari dua ekor binatang itu diperhatikan dengan teliti dan asyik oleh Ibu Semantan. Kejadian ini berterusan selang beberapa jam dan pertarungan ini diakhiri dengan keputusan seri. Kedua ekor binatang itu hilang ke dalam hutan dan tinggallah Ibu Semantan yang terpegun dan terkejut sengan kejadian tadi, pada masa yang sama beliau tersentak dan terkejut dengan masa yang telah lewat petang dan beliau dengan cepat membasuh pakaian, melakukan kerja hariannya dan segera pulang ke rumah. Beliau juga teringat yang beliau belum masak apa-apa untuk suaminya makan nanti.


Pada masa yang sama Pak Kahir yang baru pulang dari berdagang telah tiba ke rumahnya. Dengan perut yang lapar dan kepenatan beliau ke dapur untuk mencari makanan. Melihat tiada apa untuk dimakan dan juga isterinya tiada di rumah beliau naik berang dan menunggu dengan hati yang geram dan marah. Seketika kemudian, Ibu Semantan telah sampai kerumah dan mendapati Pak Kahir telah pun berada di rumah dengan keadaan yang amat marah. Pak Kahir bertanya pada isterinya kenapa tidak menyiapkan makanan dan kenapa lambat pulang. Ibu Semantan cuba mejelaskan dan menceritakan tetapi tiba-tiba Pak Kahir menempeleng Ibu Semantan .Dengan secara sepontan dan pantas Ibu semantan mengelak tamparan itu dan ini menyebabkan kemarahan suaminya meluap-luap.


Pak Kahir kembali menyerang lagi, si isteri yang teringat gaya pertempuan dua ekor binatang tadi dan segera mempraktikan gerakan dan langkah itu.Ini menyebabkan Pak kahir terkejut dan bertambah marah lalu menyerang bertalu-talu. Namun semuanya dapat ditepis dan ditangkis dengan mudah oleh isterinya yang melangkah laksana srikandi. Perkelahian suami-isteri kemudiannya berhenti akibat kepenatan. Pak Kahir berasa hairan terhadap isterinya yang tidak mempunyai latar belakang ilmu persilatan tetapi dapat mengelak sebagai seorang ahli silat yang mahir.


Keadaan kembali tenang dan Pak Kahir bertanya pada isterinya ;


"Di mana kamu belajar maen poho?" (ertinya "menipu gerakan" dipersingkat menjadi "maempo").

Di waktu inilah Ibu Semantan pun menjelaskan dari mula hingga akhir kejadian yang berlaku semasa beliau di tepi sungai tadi. Pak Kahir pun meminta isterinya menunjukkan sekali lagi gerakan yang digunakan ketika mengelak serangan beliau. Setiap gerakan dan langkah serangan dan tepisan dikaji dan dipraktikkan oleh suami isteri ini. Maka terciptalah Silat Cimande yang diambil sempena nama Kg. Cimande dan nama Sungai Mande yang menjadi asas dan tapak kejadian beruk putih dan harimau putih. Pak Kahir dan Ibu semantan pun menyebarkan dan mengembangkan Silat Cimande ini ke pelusuk tanah nusantara.


Ibu Semantan yang menjadi pengasas silat Cimande juga mempunyai seorang rakan karib yang bernama Ibu Surtani. Beliau telah menurunkan dan mengajar langkah-langkah silat Cimande kepada Ibu Surtani. Ibu Surtani menjadi murid Ibu Semantan dan mengembangkan ajaran dan ilmu silat Cimande ke daerah Bentan. Di Bentan, Ibu Surtani telah mengajarkan silat Cimande kepada Ibu Muryati yang berasal dari daerah Bengkalis. Segala ilmu yang diajarkan oleh Ibu Surtani telah di sebarkan oleh Ibu Muryati kampong halaman beliau iaitu daerah Bengkalis dan telah berkembang dan dikenali sehingga Riau. 







Ibu Surtani juga mempunyai 8 orang murid yang terdiri dari 2 lelaki dan 6 perempuan. Di antara murid beliau ialah Pak Sukiman yang merupakan antara pengasas Silat Cimande di Malaysia. Pada tahun 1950-an Pak Sukiman telah berhijrah dan merantau ke Batu Pahat, Johor di Malaya (Malaysia). Pak Sukiman telah bermaustatin dan menetap di Batu Pahat, beliau juga telah membuka gelanggang silat Cimande yang juga dikenali di Malaysia sebagai Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh. Beberapa tahun kemudian Pak Sukiman telah merantau dari Johor ke utara semenanjung sehingga ke Banting, Selangor. Disana beliau telah menetap dan mengajar silat sehingga ke akhir hayat. Sebelum beliau kembali ke Rahmatullah beliau mempunyai ramai anak murid dan salah seorang darinya itu ialah Guru Khairi Bin Sakiman yang juga tinggal di Banting , Selangor.


Guru Khairi Bin Sakiman juga dikenali sebagai Wak Khairi telah meneruskan dan memperkembangkan seni silat Cimandi Pecah Tujuh dari Selangor sehingga Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Cawangan gelanggang Cimandi Pecah Tujuh yang pertama di Kuala Lumpur yang dibuka ialah di Kampung Kerinchi. Wak Khairi telah berusaha dan berkerja keras mengembangkan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh sehingga sanggup berulang-alik dari Banting ke Kuala Lumpur tanpa rasa jemu sehinggalah beliau menemui kemalangan jalan raya pada 1982 yang menyebabkan sebelah kakinya kudung.


Oleh kerana keuzuran Wak Khairi, beliau telah mengamanahkan tanggungjawab sebagai guru kepada salah seorang anak murid lama beliau iaitu Tn.Hj.Md Zin Bin Omar yang menetap di di Pantai Dalam untuk meneruskan dan mengembangkan Seni Silat Cimandi Pecah Tujuh hingga sekarang.

3 comments:

Unknown said...

Assalammualaikum ingin bertanya guru wak khairi masih hidup ? Dan bagaimana sy ingin hub tuan hj md zin bin omar?

Unknown said...

Wak khairi dah meninggal pada hari Jumaat saya lupa tarikh... Dan bala saya Haji Md Zin Bin Omar telah meninggal baru2 ini pada 10 zulhijjah... Al-Fatihah buat kedua2nya yang tak lokek berkongsi ilmu

Unknown said...

Maaf, *bapa saya