Monday, February 11, 2013

Doa dan Pantang Larang Sebelum Masuk Ke Hutan

Doa Sebelum Masuk Ke Hutan

Dalam keseronokan dan keghairahan kita untuk masuk ke hutan atau mendaki gunung untuk tujuan meneroka alam semula jadi, berkhemah atau menakluki puncak gunung, adakalanya menyebabkan kita sering terlupa bahawa tempat yang kita ingin masuki dan terokai itu didiami secara bersama oleh makhluk-makhluk lain. Mungkin antara mereka ialah jin dan iblis dan selain penghuni lain yang terdiri daripada haiwan liar dan serangga berbisa. 

Oleh itu adalah wajar dan penting kepada kita untuk sekurang-kurangnya tahu batas-batas dan amalan-amalan yang dapat mendekatkan kita kepadaNya sekaligus dapat memelihara keselamatan diri ketika masuk ke hutan atau tempat seumpamanya bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tak diingini. Kita sebagai orang luar perlu faham dan menghormati kawasan yang ingin dimasuki memandangkan ianya bukan kawasan kita. Bayangkan jika ada orang luar masuk ke kawasan rumah kita dan membuat perkara-perkara yang kita tak suka macam membuat bising dan merosakkan barang yang ada dalam kawasan rumah kita, tentu kita pun berasa tidak senang dan konpem marah dengan orang luar tu. So, janganlah terlalu berseronok dan jagalah tingkah laku semasa berada di dalam hutan.

Salah satu doa yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:



1. Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

2. Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. 

Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

3. Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

3. Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita. 

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah. 

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga. Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya’Allah.
(sumber: laman web: http://www.darussyifa.org/)


Pantang Larang Ketika Memasuki Hutan




Permulaan Turun ke Hutan
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan.
Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahhim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.
Bersiul Semasa Dalam Perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. Ia dipercayai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahaya.
Melaung Semasa di Hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan.
Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.
Berburu Binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk memburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik. Misalnya akan berlaku insiden tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.
Tidur di Atas Pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Perbuatan itu akan dipercayai akan  diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah. (dikhuatiri terjatuh)
Lain-Lain Pantang Larang:
1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu atau dihanyut arus.
2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti mudah terjatuh atau dilapah hantu.
4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.
5. Pantang bersiul di hutan, nanti didengar binatang buas atau disambar langsuir.
6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.
7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.
8. Jangan mengambil apa-apa mahupun batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

No comments: